Artikel

Terbuka HYLO: Tang Jie-Yen Wei Lakukan Kejutan Tumpaskan Pasangan No.7 Dunia Untuk Ke Suku Akhir

Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei mencipta kejutan dalam kejohanan Terbuka HYLO dengan menumpaskan pasangan England yang menghuni ranking ke-7 dunia untuk mara ke peringkat suku akhir.

Bukan itu sahaja, beregu campuran tersebut, Marcus Ellis dan Lauren Smith itu juga merupakan pilihan ketiga bagi kategori beregu campuran dalam kejohanan ini. 

Bagaimanapun, Tang Jie-Yen Wei yang berada di kedudukan ke-49 dunia berhasil mencetak kemenangan ke atas mereka dengan kutipan mata 18-21, 21-11 dan 21-14 dalam perlawanan yang berkesudahan awal pagi tadi.

Supissara (kiri) dan Jomkoh (kanan) – Foto: BAT

Sementara itu, menunggu mereka di peringkat suku akhir adalah pasangan beregu campuran Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran yang berada di ranking ke-34 dunia.

Pasangan Thailand ini mara ke peringkat suku akhir setelah mengatasi pasangan Chinese Taipei dan Malaysia pada Pusingan 2 dan Pusingan 1 masing-masing.

Setakat ini, Tang Jie-Yen Wei dan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan. Pertemuan yang dijangka berlangsung pada pertengahan malam ini adalah yang pertama buat kedua-dua pasangan ini.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

komen