Artikel

MFL Siasat Penyokong Langgar SOP – ‘Masuk’ Padang & Peluk Pemain Terengganu

Aksi kelima Kumpulan B Piala Malaysia melibatkan Selangor dan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam, turut dicemari dengan insiden seorang penyokong dilihat menerjah masuk ke padang dan berpelukan meraikan gol bersama-sama pemain.

Insiden tersebut berlaku pada minit ke-71 apabila penyerang Terengganu, Jordan Mintah berhasil menyempurnakan sepakan percuma sekaligus memberikan pasukannya mendahului 2-0 pada waktu itu.

Ketika Jordan berlari ke kawasan berhampiran dengan tempat duduk penonton, seorang penyokong dilihat menerjah masuk ke padang dan berpelukan bersama pemain Terengganu untuk meraikan gol tersebut. 

Perbuatan itu jelas melanggar prosedur operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) bagi menjaga keselamatan pemain serta mengekang penularan Covid-19. 

Menurut laporan Harian Metro, MFL sedia maklum akan insiden terbabit dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, “kita ada menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan segera akan dilakukan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kegagalan kawalan keselamatan kerana penganjuran kejohanan besar seperti Piala Dunia pun ada penyokong lari masuk ke padang,”

Sementara itu, selang sekitar 10 minit kemudian, pasukan tuan rumah, Selangor sempat merapatkan jurang menerusi jaringan oleh penyerang tempatan, Shahrel Fikri pada minit ke-82 untuk menjadikan keputusan semasa 2-1.

Bagaimanapun, Jordan sekali lagi mempamerkan kehebatannya apabila menjaringkan satu lagi gol menerusi situasi sepakan percuma pada minit ke-90 sebelum pengadil menamatkan permainan dengan keputusan 3-1.

Terengganu kini mengesahkan diri selaku juara Kumpulan B dengan pungutan 15 mata hasil daripada lima kemenangan yang diraih sebelum ini.

komen