Setelah 29 tahun tidak melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, Kuala Lumpur City (KL City) menamatkan penantian tersebut pada musim ini apabila meraih kemenangan tipis 1-0 mengatasi Penang 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Untuk makluman semua, kali terakhir skuad berpangkalan di ibu kota ini mara ke peringkat suku akhir kejohanan tertua di asia ini adalah pada tahun 1992.
Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, menzahirkan rasa gembira di sebalik kejayaan itu sambil mengharapkan pencapaian berkenaan itu mampu menjadi motivasi tambahan buat pemain-pemain.

“Sememangnya satu perasaan yang istimewa berjaya membawa KL City ke suku akhir kerana kita tidak pernah mara sejak dari tahun 1992 bagi mencapai peringkat ini.
“Ini sememangnya satu perkara yang positif buat pasukan bagi saingan Piala Malaysia namun saya jangkakan persaingan semakin mencabar bagi peringkat seterusnya.
“Sebelum kejohanan bermula, sememangnya tiada tekanan kepada kami kerana sasaran awal ialah untuk kekal di Liga Super dan kami berjaya melakukannya apabila berada di kedudukan keenam terbaik.
“Kami berharap dapat lakukan sesuatu yang bermakna di suku akhir namun masih ada lagi satu perlawanan untuk dihabiskan iaitu bertemu Sri Pahang, pada aksi terakhir perlawanan di peringkat kumpulan,” katanya.

KL City yang mendahului carta Kumpulan A dengan pungutan 11 mata, berjaya mengatasi Penang hasil jaringan tunggal Romel Morales pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti.
Malahan, KL City buat masa ini muncul pasukan tunggal yang tidak pernah dikalahkan di laman sendiri sepanjang musim dengan 14 perlawanan tanpa tewas.
Sebagai rekod, KL City yang sebelum ini dikenali sebagai Kuala Lumpur pernah muncul juara tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987,1988 dan 1989.
Featured Image: Malaysian Football League