Penyerang Selangor, Shahrel Fikri ‘Risau’ Untuk Beraksi Selama 90 Minit
November 9, 2021 Hafizuddin Omar

Penyerang Selangor, Shahrel Fikri mengakui masih belum mampu beraksi 90 minit walaupun beraksi dengan baik ketika diturunkan sebagai pemain gantian menentang Terengganu, Ahad lalu.

Sebelum ini, difahamkan pemain berusia 27 tahun ini terpaksa melupakan saingan musim 2021 sepenuhnya selepas berdepan kecederaan pergelangan kaki pada bulan Mei lalu. 

Bagaimanapun, proses pemulihan Shahrel berjalan dengan positif dan dia kembali mendapat kepercayaan untuk beraksi di atas padang.

Shahrel atau dikenali sebagai Eky yang kembali diturunkan sejak perlawanan keempat Piala Malaysia menentang Kuching City menegaskan dia masih lagi berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi secara penuh 90 minit kerana khuatir kecederaan kembali menghantui dirinya.

“Setakat ini apabila diberi tanggungjawab saya rasa tidak mustahil untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dan Alhamdulillah malam ini (Ahad) saya berjaya menjaringkan gol.

“Saya rasa macam terlalu cepat juga masuk padang sebab sasaran sebenarnya untuk mula balik musim depan, tetapi selepas proses pemulihan berjalan lancar, saya dapat beraksi semula untuk musim ini, cuma kena kerja lebih keras lagi untuk tahun depan.

“Kaki saya dah pulih sepenuhnya, cuma hanya mental dan fizikal sahaja kena lebih kuat dan nak bermain 90 minit sepenuhnya memang agak sukar, tetapi saya akan cuba perlahan-lahan untuk mungkin masuk di separuh masa kedua terlebih dahulu,” jelasnya.

Ketika menentang Terengganu tempoh hari, Eky dimasukkan oleh jurulatihnya, Karsten Neitzel pada separuh masa kedua menggantikan muda Ghana, George Attram.

Pada minit ke-83, satu bola lintang rendah daripada pemain sayap yang melintasi di hadapan gawang lawan berjaya disudahkan oleh Eky untuk memberikan peluang buat skuad Red Giants merapatkan jurang dengan skor semasa 2-1.

Jordan Mintah

Akan tetapi, malam tersebut lebih memihak kepada pasukan pelawat. Penyerang Terengganu, Jordan Mintah sekali lagi menyudahakan sepakan percuma pada minit ke-90 sekaligus menuntup perlawanan dengan keputusan 3-1.

Untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, pasukan yang diwakili oleh Eky akan turun menentang Perak di Ipoh, hari esok.

Featured Image: Selangor FC

Komen