Ranking BWF: 2 Pasangan Beregu Lelaki ‘Independent’ Malaysia Daki Lebih 56 Anak Tangga
November 9, 2021 Hafizuddin Omar

Dua pasangan beregu lelaki bebas (independet players) Malaysia mencatatkan peningkatan melebihi 56 anak tangga selepas menyertai kejohanan Terbuka HYLO 2021, baru-baru ini.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), gandingan Tan Wee Kiong dan Tan Kian Meng yang mara ke Pusingan 2 meraih peningkatan paling banyak dalam kalangan pemain Malaysia.

Berdasarkan ranking tersebut, Wee Kiong-Kian Meng mencatatkan peningkatan sebanyak 62 anak tangga. Peningkatan tersebut membolehkan Wee Kiong dan Kian Meng menduduki tangga ke-165 dunia pada minggu ini.

Goh V Shem & Low Juan Shen – Foto: Badminton Photo

Sementara itu, satu lagi pasangan bebas, Goh V Shem dan Low Juan Shen pula mencatatkan peningkatan sebanyak 56 anak tangga walaupun sekadar beraksi di Pusingan 1 kejohanan yang sama.

Hasil daripada peningkatan tersebut, V Shem-Juan Shen diletakkan di tangga ke-185 dunia pada minggu ini.

Sementara itu, kedudukan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pula kekal tidak berubah di tangga ke-8 dunia. Hal ini juga terpakai kepada dua lagi beregu iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang menghuni tangga ke-15 dan ke-20 masing-masing.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

Komen