Artikel

Malaysia Cadang Uji Pasukan Ke-194 Dunia Sebelum Kempen Piala AFF 2020

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan bagi menguji skuad kebangsaan sebelum beraksi pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 kelak.

Menurut laporan portal Bernama, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar memaklumkan pasukan yang menghuni tangga ke-194 dunia, Timor Leste menjadi pilihan utama untuk diuji skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe.

Pada awalnya, Timor Leste perlu turun menentang Brunei Darussalam dalam perlawanan kelayakan Piala AFF 2020 pada 1 Disember nanti, bagaimanapun, perlawanan tersebut tidak akan dilangsungkan memandangkan skuad Tebuan (The Wasps) menarik diri daripada kejohanan ini.

Saifuddin Abu Bakar

“Selepas Brunei menarik diri daripada kempen Piala AFF 2020, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste.

“Tetapi kita perlu dapatkan kelulusan AFF kerana terdapat syarat bagi mengatur aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain di sini (Malaysia),” katanya seperti dipetik daripada portal tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menentang Timor Leste adalah dalam Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun 2019. Pada perlawanan tersebut, Malaysia berhasil mencatatkan kemenangan dengan keputusan 12-2 secara agregat.

Sebagai tambahan, Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF 2020 dengan menentang Kemboja pada 6 Disember dan diikuti dengan Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) dalam Kumpulan B.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen