Anugerah BWF: Zii Jia, Aaron-Wooi Yik & Liek Hou Antara Pemain Malaysia Yang Tercalon
November 11, 2021 Hafizuddin Omar

Seramai empat pemain badminton Malaysia dicalonkan untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Tahunan 2020/2021 BWF.

Berdasarkan siaran media yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki) disenaraikan untuk kategori Pemain Paling Meningkat.

Untuk Zii Jia, pencalonan ini pastinya turut disumbangkan oleh kejayaannya meraih kejuaraan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England. Sementara itu, gandingan Aaron-Wooi Yik pula hasil daripada membawa pulang pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Antara pemain lain yang dicalonkan untuk merebut kategori anugerah yang sama ialah Pornpawee Chochuwong (perseorangan wanita Thailand) serta gandingan Wan Chi-lin dan Lee Yang (beregu lelaki Chinese Taipei).

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou pula tersenarai untuk kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik.

Liek Hou akan dicabar oleh lima lagi pemain iaitu Pramod Bhagad (India), Daiki Kajiwara (Jepun), Kim Jungjun (Republik Korea), Lucas Mazur (Perancis) dan Qu Zimo (China).

Untuk makluman semua, selain daripada dua kategori ini, Anugerah Pemain Terbaik Tahunan BWF ini turut mempertandingkan beberapa kategori lain seperti:

  • Pemain Lelaki Terbaik Tahunan
  • Pemain Perempuan Terbaik Tahunan 
  • Beregu Terbaik Tahunan
  • Pemain Paling Berpotensi Tahunan
  • Pemain Wanita Badminton Para Tahunan
  • Beregu Badminton Para Terbaik Tahunan

Sebagai tambahan, pemenang bagi setiap kategori ini akan diumumkan semasa kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada awal Disember nanti.

Komen