Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel persembahan pasukannya menentang Kuala Lumpur City (KL City) akan menjadi berbeza sekiranya dibarisi oleh pemain-pemain senior dan berpengalaman.
Ketika turun melayan kunjungan skuad kendalian Bojan Hodak di laman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam tadi, Selangor terpaksa akur tumpas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia dengan keputusan 0-2.
Skuad Red Giants yang dibarisi oleh majoriti pemain tempatan dan import muda tumpas hasil jaringan pemain Colombia, Romel Morales dan pemain gantian, Hadin Azman pada minit ke-14 dan ke-82 masing-masing.
“Itulah bola sepak, kadang kala ianya bagus jika anda mempunyai pemain-pemain yang lebih berpengalaman seperti Ifedayo (Olusegun), Brendan Gan, Halim (Saari), Safuwan (Baharudin) dan ianya akan jadi lebih mudah.
“Tetapi pemain-pemain muda telah cuba lakukan segala-galanya, patutkan saya salahkan mereka? Itulah bola sepak. (Saya) ulang, sekiranya anda mempunyai pemain lebih berpengalaman, prestasi akan menjadi lebih stabil dan lebih konsisten.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sebagai rekod, Ifedayo yang merupakan kelahiran Nigeria merupakan pemain yang cukup penting buat Selangor pada musim ini. Dia muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan rekod 26 gol.
Namun kelibat penyerang yang turut memegang pasport Bahrain ini tidak kelihatan dalam kesebelasan utama Selangor sejak beberapa perlawanan di peringkat kumpulan lagi.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, ianya turut menimbulkan tanda tanya bukan sahaja peminat dan penyokong skuad Red Giants malahan peminat bola sepak tempatan secara am.
Sementara itu, pemain tengah, Brendan pula baru sahaja menyertai latihan bersama pasukan selepas diumumkan selesai menjalani pembedahan ekoran didiagnosis dengan kanser pada Julai lalu.
Manakala seorang lagi pemain tengah, Halim Saari masih lagi dalam proses pemulihan selepas ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) awal musim lalu.
Pemain pertahanan dan pemain tengah bertahan, Safuwan Baharudin pula dilepaskan oleh Selangor untuk menyahut panggilan skuad kebangsaan Singapura yang turun berentap dalam dua perlawanan antarabangsa.
Featured Image: Selangor FC