Indonesia Masters: Chan Peng Soon-Goh Liu Ying Terkandas Lagi Di Pusingan 1
November 16, 2021 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu badminton campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa akur terkeluar awal daripada kejohanan Indonesia Masters selepas tumpas kepada pasangan Jerman pada peringkat Pusingan 1, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 ini ditumpaskan oleh Jones Ralfy Jansen dan Linda Efler yang baru sahaja digandingkan awal bulan ini secara ‘straight set’ dengan skor 13-21 dan 19-21.

Lebih pahit, ini merupakan kali ketiga Peng Soon dan Liu Ying ‘ditendang’ pada peringkat Pusingan 1 daripada empat kejohanan terakhir yang disertai mereka.

Sebelum ini, pasangan beregu bebas (independent) ini terkandas di Pusingan 1 ketika beraksi di kejohanan Terbuka Denmark dan Terbuka HYLO. Hanya kejohanan Terbuka Perancis sahaja yang menyaksikan Peng Soon dan Liu Ying mara ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, Peng Soon dan Liu Ying berpeluang mengubati kekecewaan mereka di kejohanan ini dengan menampilkan aksi yang lebih bertenaga pada kejohanan Terbuka Indonesia yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

Komen