Hasil mesyuarat yang dijalankan semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan skuad pembangunan bawah 21 tahun (B-21) dan bawah 19 tahun (B-19) atau lebih dikenali sebagai skuad Piala Presiden dan Piala Belia diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan tersebut dicapai setelah terdapat permintaan beberapa FA Negeri untuk menguruskan skuad pembangunan tersebut.
Antara alasan yang diberikan adalah FA Negeri kekurangan aktiviti bola sepak untuk dijalankan terutamanya selepas penswastaan kelab yang berlaku pada tahun lepas yang menyaksikan setiap pasukan yang bertanding dalam kancah Liga Malaysia perlu diuruskan oleh entiti Kelab Bola Sepak (FC).
Bagaimanapun, Yusoff menjelaskan, perkara tersebut perlu dibincangkan antara FA dan FC terlebih dahulu bagi mendapatkan persefahaman antara kedua-dua pihak.
“(Skuad) Piala Presiden dan Piala Belia ini di bawah tanggungjawab Kelab Bola Sepak (FC) kerana dia bersangkutan dengan perlesenan kelab (club licensing). Ini bermakna FC bertanggungjawab untuk mengadakan (pasukan) pembangunan dan ianya di bawah tanggungjawab FC.
“Tetapi kita buat keputusan dalam mesyuarat kerana kita melihat ada beberapa FA (Persatuan Bola Sepak) Negeri berminat untuk menguruskan (skuad) Piala Presiden dan Piala Belia ini kerana apabila pasukan utamanya telah diberi kepada FC mereka semua kurang aktiviti bola sepak untuk diuruskan.
“Jadi, mesyuarat tadi telah bersetuju untuk semua FA dan FC ini untuk berbincang (hal ini) mengikut kesesuaian negeri itu. Kalau ada persefahaman antara mereka, pengurusan (skuad) Piala Presiden dan Piala Belia ini boleh diserahkan kepada FA oleh FC tetapi masih (menjadi) tanggungjawab FC untuk tujuan club licensing (perlesenan kelab).” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-3 di Wisma FAM.
Pada masa yang sama, Yusoff turut mengumumkan saingan Piala Presiden dan Piala Belia akan kembali dilangsungkan pada tahun 2022 selepas terpaksa dibatalkan pada tahun 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19.
Difahamkan, sepak mula kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia dijadualkan pada 24 dan 23 Februari 2022 masing-masing.
Featured Image: Football Association of Malaysia