Pusingan 1 Kejohanan Indonesia Masters menyaksikan 3 daripada 5 pasangan beregu lelaki Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan bertemu lawan masing-masing sekaligus meneruskan kemaraan ke Pusingan 2.
Tiga pasangan beregu tersebut merupakan pasangan beregu lelaki Malaysia yang menghuni ranking 20 teratas dunia iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Menariknya, ketiga-tiga pasangan negara ini bakal bertemu pasangan beregu tuan rumah pada Pusingan 2 yang akan bermula pada hari esok.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan ke-5 untuk menjuarai kejohanan ini bakal bertemu beregu muda Indonesia, Panjer Dadiara-Bryan Elohim yang berusia 19 dan 21 tahun masing-masing.
Manakala beregu bebas (independent) negara, Yew Sin-Ee Yi akan bertemu beregu Indonesia yang menghuni ranking ke-138 dunia, Sabar Gutama-Moh Isfahani.
Akhir sekali, beregu yang menduduki tangga ke-19 dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin akan akan turun menentang pasangan beregu Indonesia yang mencipta kejutan menumpaskan beregu senegaranya, Fajar Alfian-Rian Ardianto yang berada di ranking lebih tinggi iaitu Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.
Berdasarkan rekod pertemuan, gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin pernah beraksi bertemu Shohibul Fikri-Bagas Maulana sebanyak sekali pada tahun 2019 yang lalu dan kemenangan berpihak kepada beregu Malaysia.
Untuk baki dua pertemuan lagi melibatkan wakil Malaysia dan Indonesia, ianya bakal menjadi pertemuan pertama bagi keempat-empat pasangan tersebut.
Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia