Pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See bakal menempuh cabaran sebenar setelah berjaya mara ke peringkat suku akhir kejohanan Indonesia Masters 2021.
Pang Ron-Yee See yang berusia 23 dan 26 tahun masing-masing akan berhadapan dengan pasangan beregu campuran yang diletakkan sebagai pilihan pertama untuk menjuarai kejohanan ini, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai
Untuk makluman semua, beregu campuran ini juga berada di tangga ke-2 ranking dunia.
Pasangan beregu campuran Thailand ini pula mara ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan pasangan beregu campuran bebas (independent) Malaysia, Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei dengan keputusan 21-17, 16-21 dan 21-17.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu sebanyak dua kali semasa beraksi di Terbuka Thailand 2021 dan Terbuka HYLO 2021. Namun, kedua-dua perlawanan tersebut berpihak kepada pasangan beregu campuran Thailand ini.
Untuk makluman semua, Pang Ron-Yee See berhasil mara ke pentas suku akhir selepas menumpaskan pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen dan Linda Efler secara ‘straight set’ 21-14 dan 21-19 pada Pusingan 2.
Di Pusingan 1, pasangan beregu campuran yang menduduki tangga ke-17 dunia ini mara selepas pasangan Jepun, Yujiro Nishikawa dan Saori Ozaki tidak sempat menghabiskan permainan dan menarik diri (retired).
Featured Image: Badminton Photo & Badminton World Federation