Saingan suku akhir kejohanan Indonesia Masters 2021 menyaksikan dua beregu lelaki negara akan berentap sesama sendiri bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Pasangan beregu yang menduduki ranking ke-19 dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin dijadualkan bertemu pasangan beregu bebas (independent) Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, pada hari esok.
Sze Fei-Izzuddin mara ke peringkat suku akhir selepas menundukkan pasangan beregu Indonesia, Shohibul Fikri dan Bagas Maulana secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 21-18 dan 22-20.
Manakala Yew Sin-Ee Yi pula menempah tiket ke peringkat suku akhir juga menumpaskan pasangan beregu Indonesia iaitu Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan skor 21-17 dan 21-12.
Berdasarkan rekod pertembungan terdahulu, Sze Fei-Izzuddin dan Yew Sin-Ee Yi hanya pernah bertemu sekali iaitu pada kejohanan Terbuka Perancis, bulan Oktober lalu.
Perlawanan tersebut dimenangi oleh Yew Sin-Ee Yi dengan keputusan 22-24, 22-20 dan 21-17.
Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia