Dua pemain Terengganu FC iaitu Faisal Halim dan Arif Fadzilah sememangnya layak disenaraikan untuk menyertai skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2020.
Ketika beraksi di perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Sarawak United semalam, Faisal berhasil menjaringkan satu gol manakala Arif pula menghasilkan satu ‘assist’ yang membantu Terengganu mencatatkan kemenangan bergaya 4-2 sekaligus menempah tiket ke separuh akhir menerusi aggregat 6-3.
Secara keseluruhan, Faisal atau dikenali sebagai Mickey dalam kalangan rakan sepasukan dan penyokong telah mengumpul 6 gol serta 4 ‘assist’ bersama Terengganu dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.
“Bagi saya dengan prestasi untuk pasukan sekarang, dengan kedua-dua pemain itu adalah pemain utama, (mereka) memang selayaknya dipanggil,
“Tengok dari segi (prestasi) Faisal Halim dengan (Arif Fadzilah) pemain yang tengah ‘on form’ sekarang, sepatutnya diberikan peluang dan dipanggil, ianya baik untuk pemain (tersebut) dan pasukan (Malaysia).” ulas ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengenai penyenaraian Faisal dan Arif bersama skuad kebangsaan.
Pentas Piala Malaysia kali ini bukan sahaja menunjukkan Faisal semakin tajam di hadapan gawang menerusi rekod 6 jaringan tersebut. Pemain berusia 23 tahun ini turut menunjukkan kemampuannya beraksi di pelbagai posisi di bahagian serangan.
Sejak penghujung saingan Liga Super, Faisal mula dipertaruhkan oleh Nafuzi sebagai penyerang sayap kiri atau ‘inverted winger’ dan tugasan tersebut dimainkan oleh Faisal dengan jayanya.
Perkara ini pastinya akan memberikan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe lebih pilihan untuk menggunakan khidmat Faisal dalam kempen Piala AFF yang akan bermula pada awal bulan hadapan.
Sementara Arif pula semakin mengukuhkan namanya selaku salah seorang pertahanan kiri terbaik dalam saingan bola sepak tempatan dek aksinya yang konsisten sepanjang musim ini.
Untuk rekod, Faisal dan Arif merupakan dua pemain Terengganu yang disenaraikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama-sama 26 pemain yang lain untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Featured Image: Terengganu FC