Penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah mendedahkan platform perkongsian video dalam talian, Youtube sebagai tempat rujukannya untuk mengkaji gaya permainan pertahanan yang bakal dihadapinya.
Pada masa yang sama, pemain berusia 26 tahun ini menyatakan perkara tersebut turut dilakukan oleh pertahanan pasukan lawan untuk mengetahui gaya permainannya.
Menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), selain daripada mengkaji corak permainan pertahanan lawan, Mintah turut mengambil pendekatan dengan mempelbagaikan gaya permainannya agar mengelakkan dirinya dikunci pergerakannya oleh pertahanan pihak lawan.
Baca: Penyerang Terengganu II Pernah Berlatih Bersama Akademi Marseille Hampir 2 Tahun
“Sebagai penyerang kamu perlukan pelbagai cara untuk tewaskan pertahanan, kadangkala mereka menonton Youtube untuk melihat cara pemainan anda,
“Kadangkala saya menonton bagaimana pertahanan lawan bermain sebelum bertemu mereka, jadi, sebagai penyerang anda perlu sentiasa bersedia dan membuat persiapan mental,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sarawak United, tempoh hari.
Ketika menentang Sarawak United, Mintah berhasil meledak dua gol serta mencipta satu ‘assist’ untuk membantu Terengganu meraih kemenangan 6-3 secara aggregat di peringkat suku akhir Piala Malaysia. Secara keseluruhan, Mintah telah merekodkan 4 gol secara keseluruhan di pentas Piala Malaysia setakat ini.
Pemain kelahiran Ghana ini dijangka akan terus menjadi taruhan skuad kendalian Nafuzi Zain untuk merobek gawang JDT dalam usaha mereka untuk mengulangi pencapaian mara ke pentas final sepertimana pada tahun 2018 yang lalu.
Featured Image: Terengganu FC