Pasukan tuan rumah, Terengganu FC beraksi dengan baik pada separuh masa pertama ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, semalam.
Malah, penguasaan yang baik oleh skuad Hitam Putih pada babak pertama sambil disaksikan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) itu turut membolehkan mereka meraih gol seawal minit ke-8 sekaligus mendahului 1-0.
Bagaimanapun, memasuki separuh masa kedua, penguasaan tersebut beralih kepada pasukan pelawat dan perkara tersebut telah memaksa skuad kendalian Nafuzi Zain lebih banyak bertahan sebelum menamatkan perlawanan dengan terikat 1-1.
“Secara keseluruhan, separuh masa pertama kita bermain dengan baik dan punyai dua ke tiga peluang untuk menjaringkan gol cuma di babak kedua, segalanya berubah apabila kita tidak dapat mengawal permainan.

“Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah dan sememangnya kita tahu, bukan mudah untuk rampas penguasaan bola dari JDT tetapi kita dapat bertahan dengan baik.” kata Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih berusia 43 tahun ini tetap merasakan pasukannya berkeyakinan dan berpeluang untuk mengatasi JDT pada perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Akan tetapi, Nafuzi menegaskan anak-anak buahnya perlu mengikuti rentak permainan yang sama selain mengekang JDT daripada menjaringkan gol di gelanggangnya nanti.
“Sekarang peluang masih terbuka dan kita perlu menjaringkan gol di sana kerana mereka ada gol di laman lawan namun dalam masa sama kita kena elakkan dibolosi.
“Saya tidak rasa JDT akan main secara bertahan kerana mereka sememangnya dikenali sebagai pasukan yang menyerang dan kita juga kena tampil dengan rentak sama,” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, perlawanan timbal balik antara JDT dan Terengganu akan dilangsungkan pada Jumaat nanti.
Featured Image: Terengganu FC