Misi JDT Yang Seterusnya, Elak Dibolosi Terengganu – Benjamin Mora
November 23, 2021 Hafizuddin Omar

Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora akui Terengganu memberikan tentangan yang sengit dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh 20,000 penonton, semalam.

Keputusan tersebut mengecewakan sedikit perasaan jurulatih kelahiran Mexico ini kerana menjangkakan boleh membawa pulang lebih daripada satu gol. 

Namun, Mora tetap menarik nafas lega terhadap satu gol ‘away’ yang dijaringkan oleh Bergson da Silva pada separuh masa kerana ianya akan memberikan sedikit kelebihan pada perlawanan timbal balik nanti.  

Bergson da Silva & Matthew Davies

“Terengganu memberikan tentangan yang kuat kepada kami dan mereka mempunyai ramai pemain yang bagus seperti Lee Tuck, dua pemain tengah (Dechi Marcel N’Guessan dan Habib Haroon) serta pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami tidak bermula bagus pada 10 ke 15 minit pertama apabila dibolosi tetapi pemain berjaya memperbaiki keadaan itu di separuh masa kedua apabila dikawal kami sepenuhnya.

“Sepatutnya kami boleh jaringkan satu gol lagi namun satu gol dari sini sudah cukup baik untuk kami bawa pulang ke Johor Bahru dan saya rasa situasi ini beri sedikit kelebihan kepada kami.” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

Bercakap mengenai perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada hari Jumaat nanti, Mora menggariskan dua matlamat utama terhadap pasukannya.

“Perancangan saya di separuh akhir kedua adalah sama seperti kami lakukan sebelum ini dengan berikan persembahan terbaik dan tidak bolos di laman sendiri serta perlu menjaringkan gol, itu perlu dilakukan jika mahu muncul juara,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, JDT merupakan juara Piala Malaysia bagi edisi 2019 setelah berhasil menumpaskan Kedah 3-0 pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Tahun 2020 menyaksikan saingan Piala Malaysia dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19 dalam negara.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen