Artikel

Le Tour de Langkawi Sedia Dianjurkan Pada 2022 – Menteri Belia & Sukan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan keyakinan kejohanan perlumbaan jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL) sedia dianjurkan pada tahun hadapan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian selepas syarikat penganjur iaitu Human Voyage (M) Sdn Bhd telah bersiap sedia untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

“Saya berharap pada tahun hadapan tiada masalah besar dan penganjur juga telah bersiap sedia untuk menganjurkan LTdL 2022 dengan penuh meriah di seluruh negara. KBS bersedia salurkan peruntukan (untuk penganjuran).

“Kita ada kontrak dengan pihak penganjur, tahun lepas tidak diadakan, jadi kena penuhi kontrak itu,” katanya seperti dipetik daripada portal agensi berita berkenaan.

Tarikh untuk kejohanan jelajah berbasikal negara ini belum diputuskan secara rasmi namun menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab memaklumkan UCI memberikan pilihan untuk menganjurkannya pada Januari dan Mac sahaja.

Untuk makluman semua, LTdL merupakan kejohanan jelajah berbasikal tahunan yang dianjurkan sejak tahun 1996 namun penganjurannya pada tahun 2021 terpaksa dibatalkan ekoran beberapa kekangan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Featured Image: Le Tour de Langkawi

komen