Terbuka Indonesia: Tiada Beregu Wanita Malaysia Mara Ke Suku Akhir
November 25, 2021 Hafizuddin Omar

Para peminat badminton tanah air tidak akan melihat lagi kelibat beregu wanita Malaysia di peringkat suku akhir dalam kejohanan Terbuka Indonesia 2021.

Hal ini kerana ketiga-tiga beregu wanita negara baik di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau bebas (independent) tumpas kepada lawan masing-masing di Pusingan 16 yang berlangsung pada hari ini.

Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dikejutkan oleh pasangan tuan rumah yang menghuni ranking ke-201 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amalia Cahaya Pratiwi dengan keputusan 14-21, 22-20 dan 21-17.

Perlawanan antara pasangan beregu Malaysia dan Indonesia ini berlangsung dalam tempoh yang agak panjang menjangkau 81 minit.

Lee Meng Yean dan Yap Cheng Wen

Sementara itu, Lee Meng Yean dan Yap Cheng Wen pula tumpas di tangan beregu yang menghuni ranking ke-11 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva secara ‘straight set’ dengan skor 21-14 dan 21-15.

Akhir sekali, beregu bebas negara, Vivan Hoo dan Lim Chiew Sien pula tewas di tangan pasangan Thailand yang diletakkan sebagai pilihan ketiga untuk menjuarai kejohanan ini.

Dalam perlawanan tersebut, Vivian-Chiew Sien sempat memberikan tetangan sengit kepada Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai di set pertama dengan merekodkan kemenangan 26-24. 

Bagaimanapun, pasangan Thailand yang menghuni ranking ke-8 dunia ini berhasil bangkit pada set kedua dengan meraih kemenangan 21-12 sebelum turut mencatatkan kemenangan pada set penentuan dengan skor 21-11.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

Komen