Piala Malaysia: Ada Anggota Polis Duduk Bersama Penonton Di Stadium
November 29, 2021 Hafizuddin Omar

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menempatkan beberapa kumpulan anggota polis bersama-sama penonton di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semasa aksi perlawanan akhir Piala Malaysia, esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Dato’ Haji Jaafar, beliau menjelaskan penempatan kumpulan anggota polis itu bertujuan untuk memantau kelakuan para penonton semasa perlawanan berlangsung.

“Untuk makluman semua, pihak polis telah menetapkan beberapa kumpulan dan antaranya adalah kumpulan tangkapan sekiranya ada penonton yang melakukan perkara di luar batasan, bertindak ganas atau mencetuskan sebarang provokasi di dalam stadium.

ACP Muhammad Idzam Dato’ Haji Jaafar

“Jadi, kumpulan ini akan duduk bersama penonton di dalam stadium untuk memantau dan jangan ingat polis tiada dengan anda sebab mereka akan sentiasa memerhatikan gerak geri dan tingkah laku penonton sepanjang perlawanan.

“Pihak polis tidak akan tengok final, mereka hanya akan perhatikan penonton sahaja dan semua penyokong dinasihatkan berhati-hati untuk mematuhi segala peraturan bagi menjaga kelancaran perlawanan pada malam esok”, katanya dalam sidang media, pada hari ini.

PDRM turut memaklumkan seramai 1497 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi meningkatkan kawalan di dalam dan luar stadium bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang ditetapkan.

Penonton yang hadir dinasihatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka. 

Selain itu, PDRM turut mengharapkan tiada sebarang provokasi dilakukan penonton yang boleh mencetuskan kekecohan sewaktu atau selepas perlawanan berlangsung.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen