Pasangan beregu badminton lelaki muda negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang berumur 19 tahun masing-masing semakin menghampiri kelompok 100 beregu lelaki terbaik dunia.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kedua-dua pemain bertangan kidal berasal dari Terengganu dan Kelantan ini berhasil meraih lonjakan sebanyak 33 anak tangga sekaligus menduduki ranking ke-102 pada minggu ini.

Peningkatan sebanyak itu diraih hasil daripada kejayaan pasangan yang mendapat julukan ‘Patatimo Boys’ ini mara ke perlawanan akhir kejohanan Terbuka Scotland, hujung minggu lalu.
Sementara itu, seorang lagi pasangan beregu muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang mara ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang sama meraih peningkatan sebanyak 8 anak tangga dan membolehkan mereka menduduki ranking ke-69 dunia.
Beralih kepada beregu bebas (independent) negara yang beraksi di pentas Terbuka Indonesia iaitu Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong serta Goh V Shem-Low Juan Shen, kedua-dua pasangan ini berhasil meraih peningkatan dengan menduduki ranking ke-106 dan ke-121 dunia.

Beregu di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pula berjaya memperbaiki kedudukan mereka sebanyak satu anak tangga menjadikan mereka kini menghuni ranking ke-18 dunia.
Sedikit perkembangan yang kurang menyedapkan dalam kemaskini BWF pada minggu ini apabila beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kembali turun ke ranking ke-7 dunia ekoran terkandas di Pusingan 16 Terbuka Indonesia, minggu lepas.