Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan perlawanan pertama pada kempen Jelajah Dunia Akhir BWF di peringkat Kumpulan B dengan langkah kanan.
Pemain berusia 23 tahun ini berhasil mencatatkan kemenangan ke atas wakil Thailand, Kunvalut Vitidsarn secara ‘straight set’ dengan skor 21-15 dan 21-16 dalam masa menghampiri satu jam.
Hasil kemenangan ini, Zii Jia meraih mata pertama sebagai usahanya untuk menamatkan saingan di peringkat Kumpulan B sebagai juara atau naib juara.
Selain itu, kemenangan ini menjadikan rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pemain ini berpihak kepada Zii Jia sebanyak tiga kali sementara Vitidsarn pula kekal dengan rekod satu kemenangan.
Perlawanan seterusnya di peringkat Kumpulan B, Zii Jia dijadualkan bertemu pemain Perancis yang menghuni ranking ke-33 dunia, Toma Junior Popov. Kedua-dua pemain ini pernah bertemu sebanyak tiga kali dan ketiga-tiganya dimenangi oleh Zii Jia.
Untuk makluman semua, perlawanan ini dijangka berlangsung bermula jam 10.50 pagi di Court 2, pada hari esok.
Sebagai tambahan, hanya juara dan naib juara Kumpulan A dan B sahaja akan layak ke peringkat seterusnya iaitu separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF.
Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia