Jelajah Akhir BWF: Zii Jia Meneruskan Rentak Kemenangan, Kini Terajui Kumpulan B
December 2, 2021 Hafizuddin Omar

Selepas meraih kemenangan pada perlawanan pertama, jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berhasil meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF.

Perlawanan kedua yang berlangsung pada hari ini menyaksikan pemain yang menduduki ranking kelapan dunia ini berhasil meraih kemenangan ke atas pemain Perancis, Toma Junior Popov secara ‘straight set’ dengan skor 21-13 dan 21-19.

Untuk makluman semua, kemenangan ini dicapai oleh Zii Jia dalam masa tidak sampai 50 minit.

Kemenangan tersebut bukan sahaja membolehkan Zii Jia menerajui carta Kumpulan B pada hari ini, malahan, turut berpeluang cerah untuk muncul juara Kumpulan B sebelum mara ke peringkat separuh akhir kelak.

Bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, Zii Jia dijadualkan bertemu pemain perseorangan India yang menghuni ranking ke-14 dunia, Srikanth Kidambi pada hari esok. Perlawanan ini dijangka bermula jam 10 pagi, waktu Malaysia.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pemain ini pernah berentap sesama sendiri sebanyak satu kali di kejohanan Terbuka HYLO, bulan November lalu. Di dalam perlawanan ini, Zii Jia berhasil meraih kemenangan secara ‘straight set’ dengan skor 21-19 dan 22-20 ke atas Srikanth.

Komen