Piala AFF 2020: Jaringan Safawi, Akhyar & Kogi Pastikan Malaysia Bermula Langkah Kanan
December 6, 2021 β€’ Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 peringkat Kumpulan B dengan langkah kanan.

Permulaan positif itu diraih oleh skuad Harimau Malaysia setelah merekodkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Kemboja dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan, petang tadi.

Jaringan pembukaan oleh Malaysia disumbangkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke-23 seterusnya menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0.

Separuh masa kedua, Malaysia berhasil menambah lagi dua gol. Salah satu daripadanya dijaringkan menerusi gerakan solo oleh Akhyar Rashid pada minit ke-61.

Manakala satu lagi jaringan disumbangkan oleh pemain gantian, Kogileswaran Raj hasil umpanan cantik oleh Luqman Hakim pada minit ke-78.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat skuad kebangsaan menamatkan perlawanan ini tanpa sebarang bolos tidak kesampaian apabila Kemboja berhasil meraih satu gol saguhati menerusi sepakan penalti pada penghujung permainan.

Perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu Laos pada Khamis, 9 Disember dengan sepak mula pada jam 5.30 petang.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen