Adat Dunia Bola Sepak, Acong Sedia Rebut Tempat Fadzrul, Asnan Di Kedah
December 7, 2021 Hafizuddin Omar

Pemain tengah berusia 30 tahun, Muhammad Khairu Azrin Khazali menjadi salah seorang pemain baharu yang diikat oleh pasukan naib juara Liga Super 2021 iaitu Kedah Darul Aman (Kedah).

Menurut Khairu Azrin atau dikenali sebagai Acong, dia sedar penghijrahannya dari pasukan Penang ke Kedah tidak menjaminkan tempat dalam kesebelasan utama dalam skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu pada musim hadapan.

Hal ini kerana dia perlu bersaing dengan beberapa pemain tengah yang lain seperti Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad. Bagaimanapun, perkara tersebut tidak menggusarkan pemain kelahiran Hulu Langat, Selangor ini sambil menyifatkannya sebagai adat dalam dunia bola sepak.

Fadzrul Danel – Foto: MFL

“Sebenarnya Kedah sudah lama menyatakan hasrat untuk mendapatkan saya melalui kesungguhan serta minat yang ditunjukkan jurulatih mereka, Aidil.

“Melihatkan caranya yang begitu serius mahukan saya bersama Kedah nyata membuatkan saya terbuka hati dan pada masa sama, saya amat hormati Kedah yang merupakan sebuah pasukan punyai nama besar serta reputasi tersendiri dalam Liga Malaysia.

“Setelah fikirkan masak-masak, barulah saya buat keputusan untuk bersama Kedah dan harap saya akan memperoleh banyak pengalaman baharu di sana.

“Saya sedar perlu bersaing dengan ramai pemain lain seperti Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad tetapi itu adalah adat dalam dunia bola sepak profesional,” katanya.

Untuk makluman semua, Khairu Azrin memulakan karier bola sepaknya bersama Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada tahun 2011 sebelum menyertai Melaka United (2015), Felda (2017) United, Terengganu (2019).

Semasa beraksi di Terengganu, Khairu Azrin kurang konsisten mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan ini membuatkannya berhijrah ke Penang pada penghujung tahun tersebut.

Semasa bermain bersama Penang, prestasi Khairu Azrin kembali memuncak dengan dia seringkali berperanan sebagai pemain tengah No.6 sehinggakan menjadi nadi utama buat pasukan.

“Segala jasa Penang tidak akan dilupakan kerana di sinilah saya rasa karier ini kembali naik dan ramai mula dapat melihat semula kemampuan saya.

“Dua musim yang istimewa di Penang yang saya tidak lupakan selain penyokong-penyokongnya yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan,” katanya.

Sebagai tambahan, selama dua musim Khairu Azrin bersama Penang, dia telah memacu Penang muncul juara Liga Premier 2020 serta membantu skuad itu menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketiga.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen