Selepas mengumumkan menamatkan gandingan bersama Goh Liu Ying semalam, pemain beregu campuran bebas (independent), Chan Peng Soon kembali bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Perkembangan menarik itu dimaklumkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial badan induk tersebut, pada hari ini.
“Selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya, persatuan membuat keputusan untuk menyerap pemain ulung berusia 33 tahun ini dengan objektif untuk menguatkan jabatan beregu campuran dan menjadi mentor kepada skuad remaja kebangsaan.” tulis kenyataan rasmi itu.
Pada masa yang sama, BAM turut memaklumkan Peng Soon memasang hasrat untuk merebut tempat ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024. Menarik untuk disaksikan siapakah yang akan menjadi gandingan baharu pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 ini?
Difahamkan, Peng Soon akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 1 Januari 2022.
Featured Image: Badminton Photo