Hasil kemaraan ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia kembali menduduki ranking ketujuh dunia.
Kedudukan tersebut berhasil dirampas semula oleh pemain berusia 23 tahun ini daripada pemain Indonesia, Jonatan Christie selepas BWF melakukan kemaskini terbaru di laman sesawang rasminya, pada hari ini.
Minggu lalu, kedudukan Zii Jia turun satu anak tangga kerana terkandas di Pusingan 32 dalam dua kejohanan di Indonesia secara berturut-turut.
Ia menyebabkan Jonatan yang mara ke peringkat separuh akhir di kejohanan Terbuka Indonesia mengambil kesempatan untuk merampas kedudukan No.7 milik Zii Jia sebelum itu.
Sementara itu, pemain perseorangan muda negara, Aidil Sholeh yang mara ke Pusingan 16 di kejohanan Cabaran Antarabangsa Wales 2021 meraih peningkatan sebanyak 6 anak tangga sekaligus menduduki ranking ke-104 dunia pada minggu ini.
Manakala, tiada perubahan dikesan melibatkan ranking Liew Daren, Ng Tze Yong dan Cheam June Wei dimana masing-masing kekal di kedudukan ke-36, ke-60 dan ke-73 dunia.
Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia