Selepas melalui beberapa penangguhan, akhirnya, tarikh baharu bagi melangsungkan temasya Sukan SEA Vietnam 2021 Kali Ke-31 ditetapkan bermula 12 hingga 23 Mei 2022.
Perkembangan tersebut dikongsikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi akaun media sosialnya, hari ini.
Sebelum ini, mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGAF) telah memutuskan untuk mengadakan temasya dwitahunan ini pada bulan Mei tahun hadapan. Bagaimanapun, tarikh spesifik bagi menjalankan temasya tersebut diserahkan kepada Majlis Olimpik Vietnam untuk ditetapkan.
Untuk makluman, Sukan SEA Kali Ke-31 ini akan dilangsungkan di ibu negara Vietnam iaitu Hanoi selaku tuan rumah.