Biarpun muncul selaku naib juara di Cabaran Antarabangsa Wales 2021, pasangan beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun tetap meraih impak yang positif dalam kedudukan ranking dunia mereka.
Kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memperlihatkan pasangan yang berusia 22 dan 21 tahun masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh anak tangga.
Ini sekaligus meletakkan mereka menghampiri kelompok 60 pasangan beregu lelaki terbaik dunia dengan menduduki ranking ke-62 pada minggu ke-49.

Sementara itu, satu lagi pasangan muda negara iaitu Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri turut mencatatkan peningkatan satu anak menjadikan mereka menduduki tangga ke-101 dalam kemaskini ranking dunia terbaru ini.
Selain itu, tiada pergerakan ranking melibatkan beregu-beregu senior seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Kesemua mereka kekal di tangga ke-7, ke-12, ke-14 dan ke-18 sepertimana pada minggu lalu.
Featured Image: Badminton Photo