Negeri Sembilan Destinasi Utama Sean Apabila Mengetahui Akan ‘Dibuang’ Selangor
December 9, 2021 Hafizuddin Omar

Juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC menjadi pasukan utama yang ingin disertai oleh penyerang berusia 25 tahun, Sean Eugene Selvaraj apabila mengetahui kontraknya tidak akan dilanjutkan oleh Selangor.

Skuad yang terkenal dengan julukan Hoben Jang Hoben menjadi pilihan pemain kelahiran Port Dickson ini bukan sahaja kerana ianya pasukan negeri kelahirannya. Malahan, Negeri Sembilan juga merupakan tempat yang menjadi permulaan kepada karier bola sepaknya.

Tambahan pula, kejuaraan Liga Premier yang diraih oleh Negeri Sembilan pada musim ini membolehkan pasukan ini mendapat promosi ke saingan Liga Super dan Sean mahu menggunakan pengalamannya untuk membantu pasukan ini mengharungi saingan musim 2022.

Foto: Selangor FC

“Apabila saya ketahui kontrak tidak lagi disambung untuk musim depan, Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang menjadi keutamaan saya.

“Sememangnya saya sentiasa menghormati Negeri Sembilan, negeri tempat saya berasal malah semasa saya ke Selangor (2018), mereka juga menghormati keputusan saya.

“Tambahan mereka kembali beraksi di Liga Super pada musim depan, saya mahu bantu Negeri Sembilan di Liga Super selain Piala Malaysia.

“Segalanya tampak sempurna apabila mereka juga menunjukkan minat yang sama dan diharapkan tahun 2022 akan kembali menjadi detik istimewa dalam karier.

“Berdasarkan pengalaman empat tahun di Liga Super dengan pencapaian membantu Selangor meraih tempat ketiga pada 2019, saya harap boleh membantu Negeri Sembilan meraih sesuatu, ” katanya.

Sean ketika penglibatan awalnya bersama Selangor

Bersama Selangor, Sean yang berhasil meraih 69 penampilan dan merekodkan 10 gol kerap digunakan sebagai penyerang sayap namun posisi asalnya adalah pemain No.9 atau penyerang tengah.

Sean berharap dapat diberikan kepercayaan untuk kembali beraksi di posisi tersebut disamping diharapkan lebih kerap diturunkan dan meraih lebih minit permainan bersama skuad kendalian K. Devan ini. 

Untuk makluman semua, Sean pernah beraksi selama dua musim bersama Negeri Sembilan iaitu pada tahun 2016 dan 2017. Selepas itu, dia dipikat oleh skuad Red Giants yang ketika itu di bawah kendalian P. Maniam.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

Komen