Perpisahan pasangan badminton beregu campuran No.8 dunia serta kembalinya Chan Peng Soon bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menimbulkan perbincangan hangat tentang siapakah yang akan menjadi gandingan baharu kepada pemain berusia 33 tahun tersebut.
Selain daripada calon pemain wanita yang sesuai bergandingan dengan Peng Soon, perbincangan mengenai gandingan pemain senior bersama junior turut hangat diperdebatkan dalam kalangan peminat badminton tanah air.
Untuk makluman semua, Peng Soon selaku pemain senior pernah digandingkan dengan pemain junior, Cheah Yee See yang berusia 22 tahun pada ketika itu dalam tempoh selama lebih kurang tujuh bulan pada tahun 2017 sementara menantikan Goh Liu Ying pulih selepas mengalami kecederaan.
Walaupun bergandingan dalam tempoh yang singkat, pasangan berhasil mempersembahkan prestasi yang memberangsangkan dengan meraih satu gelaran iaitu di kejohanan Terbuka Rusia serta mara sebanyak tiga kali di peringkat separuh akhir Terbuka Vietnam, Terbuka Korea dan Terbuka Macau.
Sebagai tambahan, pasangan senior dan junior turut berhasil menduduki ranking terbaik – No.17 dunia sebelum Peng Soon dan Yee See kembali bersama pasangan masing-masing pada tahun 2018.
Ketika ini, Cheah Yee See berpasangan bersama pemain lelaki berusia 23 tahun, Hoo Pang Ron dan kini menghuni ranking ke-23 dunia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia