Peng Soon Digandingkan Bersama Pemain 19 Tahun, Valeree Siow di Terbuka India 2022
December 10, 2021 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai pasangan baharu pemain senior beregu campuran, Chan Peng Soon setelah berpecah dengan Goh Liu Ying akhirnya diketahui pada hari ini.

Menerusi M&Q Report yang dimuat naik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk kejohanan Terbuka India 2022 (Super 500), pemain berusia 33 tahun ini digandingkan bersama pemain berusia 19 tahun, Valeree Siow dalam kategori beregu campuran.

Untuk makluman semua, sebelum ini, Valeree aktif beraksi dalam kategori beregu wanita bersama-sama Low Yeen Yuan yang turut seusia dengannya.

Antara pencapaian terbaik yang diraih oleh gandingan muda ini sepanjang 2021 adalah muncul juara di kejohanan Cabaran Antarabangsa Hellas, Cabaran Antarabangsa Latvia dan Cabaran Antarabangsa Slovenia. Ketika ini, pasangan ini sedang menduduki ranking ke-111.

Sementara itu, Valeree turut mempunyai pengalaman beraksi dalam kategori beregu campuran bersama-sama Yap Roy King yang berusia 20 tahun. Dalam ketegori ini, Valeree-Yap meraih dua kejuaraan dalam kejohanan Cabaran Antarabangsa Hellas dan Cabaran Antarabangsa Latvia serta menghuni tangga ke-233 dunia.

Sebagai tambahan, kejohanan Terbuka India 2022 ini akan berlangsung bermula 11 hingga 16 Januari, tahun hadapan.

Komen