Tze Yong Disenaraikan Beraksi di Terbuka India 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF
December 11, 2021 Hafizuddin Omar

Prestasi memberangsangkan pemain badminton perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong di pelbagai kejohanan berstatus Gred 3, Cabaran Antarabangsa (International Challenge) sepanjang tahun ini berhasil meletakkannya di ranking ke-60 dunia.

Kedudukan tersebut melayakkan pemain berusia 21 tahun ini menyertai pelbagai kejohanan di tahap yang lebih tinggi khususnya kejohanan berstatus Gred 2 iaitu Jelajah Dunia BWF.

Menurut ‘M&Q Report’ yang dimuat naik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Tze Yong tersenarai untuk beraksi di kejohanan Terbuka India 2022 – Jelajah Dunia Super 500 BWF.

Kejohanan ini bakal menjadi pentas Jelajah Dunia BWF yang pertama buat pemain berbakat kelahiran Johor ini. 

Selain itu, penyertaan pemain yang digembar-gemburkan sebagai ‘The Next Lee Chong Wei’ oleh sebahagian besar peminat badminton tanah air akan membuka peluang buatnya untuk bertemu pemain-pemain handalan dunia yang menduduki ranking lebih tinggi daripadanya.

Untuk makluman semua, Tze Yong meraih peningkatan mendadak pada tahun ini dengan bermula di ranking ke-136 dunia pada penghujung Mac 2021 sebelum meningkat kepada kedudukan ke-60 pada awal Disember lalu.

Peningkatan tersebut hasil daripada tiga kejuaraan yang diraih di Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Belgium dan Terbuka Scotland serta muncul naib juara di kejohanan Terbuka Czech daripada 7 kejohanan yang disertainya secara individu pada tahun ini.

Featured Image: Badminton Photo

Komen