Artikel

Penjaring Terbanyak Kelab, Gonzalo Cabrera Tinggalkan Johor Darul Ta’zim

Tiada lagi aksi penyerang sayap lincah kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Menurut makluman terkini oleh pasukan yang menjuarai Liga Super lapan kali berturut-turut itu, pemain yang bakal memasuki usia 33 tahun pada Januari hadapan tersebut akan meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Untuk makluman semua, sejak menyertai JDT pada tahun 2017, pemain yang memegang pasport Iraq ini bukan sahaja bergerak lincah di atas padang malahan muncul sebagai penjaring prolifik sehinggakan meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak kelab dengan rekod jaringan 66 gol dalam kesemua pertandingan.

Selain itu, Gonzalo turut memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membantu JDT merangkul pelbagai trofi seperti Liga Super (2017-2021), Piala Sumbangsih (2018-2021) dan Piala Malaysia (2017 & 2019).

Perkembangan mengejutkan ini pastinya akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat JDT serta peminat saingan bola sepak tempatan siapakah pemain import baharu yang akan dibawa masuk oleh pemiliknya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bagi menggantikan penyerang sayap lincah tersebut. Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Malaysian Football League

komen