Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Tiada Masalah Buat Liew Daren Singkirkan Pemain Israel di Pusingan 64

Pemain badminton perseorangan lelaki bebas (independent) negara, Liew Daren, 34 tahun, tidak mempunyai masalah berhadapan pemain Israel, Misha Zilberman pada Pusingan 64 di Kejohanan Dunia BWF 2021.

Daren yang menghuni ranking ke-36 dunia berhasil meraih kemenangan ‘straight set’ dengan keputusan 21-14 dan 21-14 ke atas Misha, ranking ke-47, dalam tempoh masa sekitar 40 minit, sebentar tadi.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertarungan yang ketiga melibatkan kedua-dua pemain ini. Dua pertembungan terdahulu di Kejohanan Dunia 2018 dan Terbuka India 2018 menyaksikan kedua-dua kemenangan turut berpihak kepada Daren.

Sementara itu, Daren berkemungkinan besar bakal bertemu pemain Hong Kong yang diletakkan sebagai pilihan ke-8 untuk menjuarai kejohanan ini iaitu Ng Ka Long Angus di Pusingan 32.

Bagaimanapun, pemain yang berada di kedudukan ke-9 dunia itu perlu melepasi pemain India, Prannoy Haseena Sunil Kumar yang berada di ranking ke-32 dunia pada Pusingan 64 hari ini.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

komen