Penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva tidak menganggur lama setelah diumumkan dilepaskan oleh Terengganu FC (TFC) pada awal Disember lalu.
Ini kerana khidmat penyerang berusia 32 tahun tersebut telah disambar dengan pantas oleh kelab yang kini menghuni tangga kedua Liga 1 Indonesia iaitu Persib Bandung.
Da Silva diperkenalkan sebagai pemain baharu kelab tersebut menerusi satu komik video yang penuh menarik di platform media sosial milik pasukan yang berpangkalan di Jawa Barat, semalam.
Tonton video penuh pengenalan David Da Silva oleh Persib Bandung, DI SINI.
Video tersebut turut diserikan dengan frasa ‘Wilujeng Sumping’ bermaksud ‘Selamat Kembali’ yang menandakan kedatangan semula Da Silva ke Pulau Jawa dan kancah bola sepak Indonesia setelah setahun beraksi di Liga Malaysia.
Untuk makluman semua, sebelum beraksi bersama TFC, Da Silva beraksi hampir 3 musim bersama Persebaya Surabaya dan meletakkan dirinya antara penyerang terbaik dalam kancah bola sepak di negara itu.
Bagaimanapun, prestasinya di Malaysia tidak begitu memuaskan hati ramai peminat TFC secara khususnya disebabkan oleh faktor kecederaan dan rekod jaringan yang tidak begitu memberangsangkan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.