Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin akan membuat perhitungan sekali lagi dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin pada Pusingan 16 di Kejohanan Dunia BWF 2021.
Kedua-dua pasangan ini bertemu kembali selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing pada Pusingan 32, awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Sze Fei-Izzuddin mara selepas menumpaskan beregu Scotland iaitu Alexander Dunn dan Adam Hall yang menghuni ranking ke-36 dunia dengan keputusan 21-14, 19-21 dan 21-16 dalam tempoh 55 minit.
Sementara itu, Lee Yang dan Wang Chi-lin yang merupakan pasangan beregu nombor 3 dunia menempah tiket ke Pusingan 16 dengan menundukkan beregu Belanda, Ruben Jille dan Ties Van der Lecq.
Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin dan Lee-Wang baru sahaja bertarung sesama sendiri buat pertama kali pada peringkat Pusingan 16 di kejohanan Terbuka Indonesia pada November lalu.
Pertemuan tersebut dimenangi dengan cemerlang oleh Sze Fei-Nur Izzuddin secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-15 dan 23-21. Mampukah Sze Fei-izzuddin mengulangi rekod cemerlang ke atas beregu Taiwan ini sekali lagi?
Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia