Nidzam Tolak Jawatan ‘Head Coach’ Liga Premier Untuk Sertai Selangor
December 16, 2021 Hafizuddin Omar

Jurulatih muda berbakat, Nidzam Jamil mengakui menerima beberapa tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan yang beraksi di saingan divisyen dua iaitu Liga Premier.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak oleh jurulatih berusia 41 tahun ini dengan alasan ini adalah waktu yang sesuai untuk kembali bersama Selangor – pasukan yang mengangkatnya sebagai pemain – walaupun sebagai penolong ketua jurulatih.

Antara alasan lain Nidzam memilih untuk menyertai Selangor kerana tertarik dengan projek pembangunan pemain-pemain muda yang sedang diusahakan dengan serius oleh skuad Red Giants ini.

“Sejujurnya saya ada terima beberapa tawaran lain selaku ketua jurulatih dari pasukan Liga Premier tetapi saya tidak memilih ke sana kerana merasakan ini waktu terbaik untuk balik ke Selangor.

“Ini bukan pilihan yang susah buat saya untuk katakan tidak kepada Selangor kerana semua orang tahu Selangor adalah antara pasukan yang baik di Liga Malaysia.

“Malah saya tertarik dengan projek yang sedang dilakukan Selangor dengan memberikan penumpuan serius terhadap pembangunan pemain-pemain muda dari Selangor 2 dan 3 serta graduan dari AMD (Akademi Mokhtar Dahari) yang turut berada di sini.

“Ini bukan soal hendak menjadi nombor satu atau dua tetapi kerana saya pernah berada di kedua-dua tempat tersebut sebelum namun apa paling penting, apa yang saya boleh tawarkan kepada Selangor pada musim depan,” katanya.

Untuk makluman semua, Nidzam turut memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak bersama pasukan ini dengan bermula dari pengutip bola, menyertai akademi dan beraksi di pelbagai kejohanan peringkat umur. 

Ketika diserap menyertai skuad senior, Nidzam yang beraksi sebagai pertahanan sempat menyarung jersi Merah Kuning selama lima musim iaitu dari tahun 1999 hingga 2004 sebelum berhijrah ke PKNS FC, Negeri Sembilan dan Proton FC.

Komen