Tinjauan FIFA: Lebih 60% Mahu Kejohanan Piala Dunia Diadakan Lebih Kerap – 2 Tahun Sekali
December 18, 2021 Hafizuddin Omar

Idea untuk mengadakan kejohanan Piala Dunia FIFA Lelaki dan Wanita dengan lebih kerap sebagai contoh secara dwitahunan telah menimbulkan perdebatan yang hangat dalam kalangan peminat bola sepak seluruh dunia.

Oleh demikian, badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah melakukan tinjauan dengan menanyakan sekitar 77,000 responsen berkenaan hal ini.

Hasil tinjauan yang diperolehi dan disiarkan oleh FIFA di laman sesawangnya pada hari ini adalah seperti berikut:

  • Sebanyak 63.7% peminat mahu menonton kejohanan Piala Dunia FIFA (Lelaki) dengan lebih kerap, diikuti 23.3% menjawab mungkin, 11% membantah dan 2% pula tiada sebarang komen.
  • Sebanyak 52.4% peminat mahu menonton kejohanan Piala Dunia FIFA (Wanita) lebih kerap, diikuti 28.4% menjawab mungkin, 13.5% membantah dan 5.7% tidak memberikan sebarang komen.
  • Kategori umur 25-34 tahun paling kuat menyokong untuk penganjuran kejohanan Piala Dunia FIFA Lelaki dan Wanita dengan lebih kerap, manakal penentangan yang paling kuat pula disuarakan daripada kategori umur 55 tahun dan ke atas.

Sementara itu, tinjauan ini turut menunjukkan lebih 50% responden lelaki daripada benua asia, afrika, amerika utara, tengah & carribean, amerika selatan dan oceania menyatakan sokongan penganjuran Piala Dunia FIFA secara dwitahunan.

Hanya responden lelaki daripada benua eropah sahaja yang menyuarakan sokongan kurang daripada 50% untuk kekerapan penganjuran Piala Dunia FIFA sebegini.

Sebagai tambahan, responden dari Turki, India dan Afrika Selatan adalah yang paling kuat menyokong penganjuran Piala Dunia FIFA Lelaki secara dengan lebih kerap.

Sementara itu, bantahan paling kuat untuk penganjuran Piala Dunia Lelaki secara dwitahunan pula disuarakan oleh responden dari England, Jerman dan Perancis.

Komen