Artikel

Piala AFF 2020: Badi 5 Tahun Berakhir, Indonesia Kalahkan Malaysia 4-1

Skuad bola sepak kebangsaan Indonesia berhasil mengakhiri badi selama 5 tahun kalah di tangan Malaysia dengan mencipta kemenangan besar di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Skuad yang dibimbing oleh jurulatih Republik Korea, Shin Tae-yong itu berjaya merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Malaysia pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, saingan Piala AFF Suzuki 2020. 

Jaringan kemenangan Indonesia tersebut disumbangkan oleh Irfan Jaya (36’,43’), Pratama Arhan (50’) dan Elkan Baggot (82’). Manakala, skuad Harimau Malaysia mendapat jaringan tunggal menerusi Kogileswaran Raj pada minit ke-13.

Kemenangan bergaya Indonesia ini turut menyingkirkan Malaysia secara rasminya daripada kancah Piala AFF Suzuki 2020. Indonesia pula muncul selaku naib juara kumpulan, mengiringi Vietnam ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, kali terakhir Indonesia mencatatkan kemenangan ke atas Malaysia adalah ketika perlawanan persahabatan pada September 2016. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Manahan itu menyaksikan Indonesia meraih kemenangan 3-0.

Featured Image: AFF Suzuki Cup

komen