Kejayaan pemain perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew muncul juara di Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut sama meningkatkan kedudukan ranking dunianya.
Menerusi kemaskini terbaru di laman sesawang BWF, Kean Yew yang merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang merekodkan peningkatan sebanyak 7 anak tangga sekaligus meletakkannya di ranking ke-15 dunia – pencapaian terbaik dalam kariernya.
Sementara itu, pemain India yang berusia 28 tahun, Srikanth Kidambi merangkap naib juara Kejohanan Dunia BWF pula merekodkan 4 kenaikan anak tangga dan berjaya menemnusi kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Manakala, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang mara sehingga ke peringkat suku akhir kejohanan yang sama kekal di tangga ke-7 dunia.
Secara keseluruhan, kedudukan 5 pemain perseorangan lelaki terbaik dunia tidak berubah pada minggu ini dengan Viktor Axelsen kekal di tempat yang pertama sambil diikuti oleh Kento Momota, Anders Antonsen, Chou Tien Chen dan Anthony Sinisuka Ginting.
Featured Image: Badminton World Federation