Khidmat Tomas Trucha Dikekalkan, Manzoor Azwira Kemudi Penang 2023
December 22, 2021 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2021 di tempat ketiga iaitu Penang FC mengumumkan mengekalkan khidmat ketua jurulatihnya, Tomas Trucha untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Sebelum ini, terdapat spekulasi yang mengatakan jurulatih kelahiran Republik Czech ini akan ‘dinaikkan pangkat’ menjadi pengarah teknikal pada tahun 2022 sekaligus mengosongkan kerusi ketua jurulatih skuad Haria Penang Haria itu.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi oleh pelbagai laman sosial pasukan Penang semalam telah menutup spekulasi tersebut dengan Tomas disambung perkhidmatannya sebagai ketua jurulatih.

Antara perkembangan lain, Penang turut memaklumkan Manzoor Azwira yang akan mengikuti kursus kejurulatihan Diploma Pro AFC dikekalkan sebagai Penolong Ketua Jurulatih 1 sebagai persediaan untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada tahun 2023 setelah selesai kursus terbabit.

Sementara itu, Penang juga mengumumkan bekas pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt turut dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih II. Perkara ini dilakukan susulan pihak mereka menerima perkhabaran awal berhubung kemungkinan setiap pasukan dikenakan syarat untuk mempunyai dua orang jurulatih dengan kelayakan lesen Diploma Pro AFC.

Featured Image: Penang Football Club

Komen