Saya Tidak Dihubungi Mana-Mana Pihak Daripada JDT – Suhaimi Husin
December 23, 2021 Hafizuddin Omar

Penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin menafikan dirinya akan menyertai skuad juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Bukan sahaja menafikan perkara itu malahan Suhaimi turut mendedahkan dirinya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana wakil daripada skuad Harimau Selatan tersebut.

Tambahan pula, pemain berusia 27 tahun ini turut mengumumkan kekal beraksi bersama skuad ‘Black and White’ serta meletakkan sasaran untuk membantu Terengganu beraksi dengan lebih cemerlang dalam saingan Liga Malaysia 2022.

“Setakat ini saya tidak dihubungi mana-mana pihak daripada JDT. Lagi pun saya sudah menandatangani kontrak bersama TFC. Tapi jika ada tawaran saya sedia timbang kerana bukan mudah untuk beraksi bersama skuad gergasi Liga Malaysia itu.

“Tapi jika tidak ada, fokus saya sudah pasti untuk membantu Terengganu FC memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia selain Piala FA serta mengintai peluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023,” katanya seperti dipetik daripada portal akbar Berita Harian.

Untuk makluman semua, Suhaimi merupakan penjaga gol bagi skuad simpanan, Terengganu II. Namun, ekoran kecederaan posterior crucial ligament (PCL) yang menimpa Rahadiazli Rahalim selaku penjaga gol skuad utama, nama Suhaimi menjadi pilihan barisan kejurulatihan untuk menjaga gawang Terengganu sepanjang musim 2021.

Peluang dan kepercayaan yang diberikan itu dibalas dengan persembahan yang cukup baik oleh Suhaimi sepanjang saingan Liga Malaysia 2021 sehinggakan pernah mendapat reaksi pujian oleh pemilik JDT, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Walaupun tidak menarik minat JDT, dalam laporan yang sama, Suhaimi mendedahkan dia mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain yang beraksi di kancah Liga Super yang mahukan khidmatnya.

Akan tetapi tawaran-tawaran tersebut terpaksa ditolaknya kerana telah bersetuju untuk kekal bersama Terengganu.

Featured Image: Terengganu FC

Komen