Walaupun tersingkir awal daripada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020, kedudukan Malaysia dalam ranking dunia kekal sebagaimana kemaskini pada bulan lalu.
Menerusi kemaskini terbaru oleh laman sesawang Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada hari ini, Malaysia yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe kekal berada di tangga ke-154 dunia.
Skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan kedudukan itu hasil daripada dua kemenangan yang diraih ke atas Kemboja dan Laos. Justeru, kekalahan kepada Vietnam dan Indonesia tidak memberi impak terhadap ranking Malaysia.
Bagaimanapun, dua kekalahan tersebut menyebabkan Malaysia menamatkan saingan di peringkat Kumpulan B di tangga ketiga sekaligus terpaksa mengemas beg baju dan berlepas pulang ke tanah air dengan lebih awal.
Sementara itu, beberapa pasukan di rantau ASEAN yang lain berhasil merekodkan peningkatan dalam kemaskini terbaru pada bulan ini seperti Vietnam (ke-98), Thailand (ke-115) dan Indonesia (ke-164).
Untuk makluman semua, kemaskini ranking FIFA yang berikutnya adalah pada Februari 2022.
Featured Image: AFF Suzuki Cup