Artikel

Syafiq Ahmad ‘Senjata’ Tambahan Kedah di Piala AFC 2022

Naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman (Kedah) mendapat satu senjata tambahan untuk mengharungi kejohanan antarabangsa peringkat benua asia iaitu Piala AFC 2022 kelak.

Menerusi satu makluman terbaru, semalam, skuad Hijau Kuning mengesahkan mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan iaitu Syafiq Ahmad secara pinjaman selama semusim.

Kedatangan Syafiq yang mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan elit benua asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) pastinya akan memberikan satu nilai tambah buat Kedah khususnya untuk beraksi di pentas Piala AFC serta Liga Malaysia 2022.

Pemain berusia 26 tahun ini pernah mencipta sensasi apabila jaringan tunggalnya berhasil membantu JDT meraih kemenangan 1-0 ke atas Kashima Antlers dalam saingan ACL 2019.

Untuk makluman semua, Syafiq yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang ini bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat pasukan Kedah. Dia memulakan karier bola sepaknya bersama skuad Piala Presiden Kedah bermula tahun 2013.

Kemudiannya, Syafiq berhasil menembusi skuad senior pada tahun 2015 sebelum meninggalkan Kedah pada tahun 2017 untuk menyertai JDT.

Featured Image: The AFC CL

komen