Kejuaraan AFF B-23: Harimau Muda Diundi Bersama Juara Bertahan, Indonesia Dalam Kumpulan B
December 29, 2021 Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang dikendalikan oleh Brad Maloney diundi dalam Kumpulan B di Kejuaraan AFF B-23 yang akan berlangsung pada 14-26 Februari hadapan.

Hasil undian yang dijalankan secara dalam talian hari ini menyaksikan skuad Harimau Muda diletakkan bersama-sama seteru zaman berzaman merangkap juara bertahan, Indonesia sambil disertai oleh Myanmar dan Laos.

Manakala Kumpulan A terdiri daripada tuan rumah, Kemboja serta Timor Leste, Filipina dan Brunei Darussalam. Sementara itu, Kumpulan C pula terdiri daripada Thailand, Vietnam dan Singapura.

Untuk makluman semua, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik sahaja layak mara ke peringkat kalah mati iaitu separuh akhir.

Sebagai rekod, kejohanan yang akan berlangsung pada tahun hadapan merupakan edisi ketiga. Dua edisi yang berlangsung sebelum ini, pada tahun 2005 dan 2019 dimenangi oleh Thailand dan Indonesia masing-masing.

Komen