Stadium Sultan Muhammad ke-IV Bakal Dicat Baharu, Lampu Limpah Lebih Cerah
January 5, 2021 Hafizuddin Omar

Gelanggang rasmi pasukan TRW Kelantan FC dan Kelantan United FC (KUFC), Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSMIV) sedang giat dinaiktarafkan sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2021.

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Rahmat berkata penaiktarafan itu memfokuskan kepada meningkatkan kecerahan lampu limpah, menukar kerusi-kerusi di seksyen grandstand dan mengecat stadium tersebut dengan warna baharu.

Dan penaiktarafan stadium berusia lebih 50 tahun itu memakan kos sekitar RM7.5 juta secara keseluruhan hasil peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Foto kerja-kerja pembaikan stadium yang terlah bermula tular di media sosial.

“Penaiktarafan ini kita minta dengan YB Menteri semasa mesyuarat awal dahulu, kerana stadium itu berkeadaan buruk, terutamanya lampu limpah, grandstand,” 

“YB Menteri lulus RM5 juta pada awalnya dan selepas pihak kementerian datang (melawat) mereka setuju untuk tambah RM2.5 juta.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz.

Grandstand Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

Bagaimanapun pihaknya belum memutuskan lagi warna baharu stadium tersebut namun dijangka warna sedia ada iaitu putih dan merah jambu yang digunakan sejak tahun 2016 tidak akan dikekalkan.

“Naik taraf ini adalah untuk mempersiapkan venue buat TRW Kelantan FC dan KUFC mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.” tambahnya lagi.

Keadaan padang ketika diperiksa oleh Match Comissioner, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan tiada sebarang kerja-kerja penaiktarafan padang seperti menukarkannya kepada jenis rumput lain akan dibuat memandangkan kondisinya berada dalam keadaan baik.

Wan Roslan mengharapkan projek naik taraf ini dapat disiapkan sebelum daripada sepak mula saingan baharu Liga Premier 2021 iaitu pada 27 Februari hadapan.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen