Artikel

Selangor FC Bina Pusat Rehabilitasi & Bakal Dibuka Kepada Umum Untuk Jana Pendapatan

Walaupun telah menjadi salah sebuah pusat latihan terbaik dalam negara, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) dilihat masih melakukan beberapa penambahbaikan terhadap pusat latihan mereka.

Antara penambahbaikan yang sedang dilakukan adalah membina sebuah gimnasium baharu, pusat rehabilitasi dan klinik untuk kegunaan para pemain dan staf kejurulatihan Red Giants bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Lebih menarik, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, dua daripada kemudahan yang sedang dibina tersebut bakal dibuka untuk peminat dan orang ramai sebagai salah satu usaha untuk menjana pendapatan buat kelab.

Bangunan yang sedang direnovasi untuk menempatkan gimnasium baharu, pusat rehabilitasi dan klinik.

“Kita sudah memulakan pembinaan gimnasium yang baharu, pusat rehabilitasi (pemulihan) dan klinik. Pusat rehabilitasi dan klinik tersebut akan dibuka untuk orang awam berkunjung (mendapatkan rawatan) daripada doktor dan (ahli) fisioterapi kami.”

“Ini antara usaha kami untuk menjana pendapatan (sendiri) disamping digunakan oleh pemain-pemain.” katanya ketika ditemui oleh Sukanz di FAS Training Centre, semalam.

Membuka pusat rehabilitasi dan klinik yang terdiri kalangan profesional perubatan yang terlibat secara langsung bersama pasukan bola sepak profesional merupakan satu strategi yang bijak.

Ianya bukan sahaja dapat menarik orang ramai yang ditimpa kecederaan semasa bersukan atau beriadah untuk mendapatkan rawatan daripada profesional perubatan berkenaan malahan kalangan atlet-atlet daripada bidang sukan yang lain.

Bangunan dua tingkat yang sedang dalam pembinaan di FAS Training Centre.
Bakal menempatkan kafeteria, dapur, ruang makan dan bilik jurulatih apabila siap kelak.

Selain daripada itu, sebuah bangunan dua tingkat turut sedang dibina di pusat latihan tersebut. Difahamkan tingkat pertama bangunan tersebut akan menempatkan kafeteria untuk para pemain dan staf kejurulatihan manakala tingkat kedua pula merupakan pejabat barisan jurulatih Selangor FC.

“Kita juga sedang membina kafeteria yang merangkumi dapur dan tempat makan untuk para pemain dan staf.” tambahnya lagi sambil menjangkakan kemudahan dan fasiliti yang sedang dibina ini bakal siap pada penghujung februari atau awal mac hadapan.

Padang Latihan Tertutup Bakal Siap Bulan April

Tidak cukup dengan kemudahan dan fasiliti yang dinyatakan di atas, FAS Training Centre bakal mempunyai sebuah padang latihan tertutup yang menggunakan rumput sintetik. Proses pembinaannya akan bermula pada penghujung bulan ini dan dijangka siap pada april kelak.

Pembinaan padang tertutup ini bakal memberikan satu kelebihan kepada Selangor FC untuk meneruskan sesi latihannya seperti biasa walaupun sedang mengalami cuaca buruk seperti hujan lebat.

CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon

“Kita akan mulakan pembinaan padang tertutup, (seluas) setengah padang dengan rumput sintetik pada akhir bulan ini atau awal bulan depan.”

“Kita juga akan tambah padang sintetik (di beberapa tempat) dalam pusat latihan ini sebanyak yang mungkin kerana ianya lebih tahan lasak daripada padang rumput biasa.” tambahnya lagi.

Berdasarkan makluman oleh Dr. Johan, setelah selesai semua projek pembinaan tersebut maka lengkaplah segala usaha untuk mengadakan kemudahan dan fasiliti buat FAS Training Centre yang terletak di Padang SUK tersebut.

Untuk makluman, FAS Training Centre yang menjadi pusat latihan rasmi skuada Red Giants mula berwajah baharu dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan ruang pejabat yang lebih segar dirasmikan sendiri oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sekitar julai 2019.

Featured Image: Selangor FC

komen