Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL United, Stanley Bernard mengesahkan pasukannya telah menandatangani khidmat dua pemain import yang cukup sinonim dalam kancah Liga Malaysia.
Pertamanya, skuad The City Boys telah mendapatkan khidmat penyerang Mauritania yang telah menjaringkan 9 gol dalam kancah Liga Super 2020 bersama Terengganu FC iaitu Dominique da Sylva.

Keduanya, KL United yang merupakan pendatang baharu Liga Super 2021 turut mendapatkan khidmat pemain tengah berumur 23 tahun kelahiran Colombia iaitu Romel Morales.
“Dominique da Sylva dan Romel Morales sudah ditandatangani,” kata Stanley ketika ditemui Sukanz di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Difahamkan Dominique sedang menjalani tempoh kuarantin manakala Morales yang merupakan bekas pemain Melaka United sedang menantikan waktu untuk pulang ke Malaysia.

Terdahulu, KL United telah melanjutkan kontrak pemain import tengahnya, Paulo Josue kelahiran Brazil sekaligus bakal menandakan musim kelimanya beraksi dalam saingan bola sepak Malaysia pada tahun ini.
Sementara itu, Stanley turut mendedahkan pihaknya sedang dalam perbincangan dengan calon-calon pemain untuk memenuhi baki dua slot pemain import asean dan asia.
“Saya rasakan ya (penuhkan kuota pemain import), dan (calonnya) dalam perbincangan,” tambahnya lagi.
Bagi kalangan pemain tempatan pula, KL United telah mengikat Safee Sali, Hadin Azman, Irfan Zakaria, Anwar Ibrahim, Daniel Ting, Kamal Azizi dan Wan Amirzafran.
Pertukaran Simon Elissetche kepada Bojan Hodak Adalah ‘Football Decision’
Selain daripada membawa masuk beberapa pemain baharu, KL United turut memaklumkan mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu iaitu Bojan Hodak untuk membimbing mereka mengharungi saingan Liga Super 2021.
Pengendali berusia 49 tahun kelahiran Croatia ini bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan. Beliau pernah memimpin Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.
Namun begitu, sebelum KL United mengumumkan menandatangani khidmat Bojan secara rasmi, skuad berpangkalan di ibu negara tanah air ini dikhabarkan telah mendapatkan khidmat seorang ketua jurulatih warganegara Chile iaitu Simon Elissetche.

Menjelaskan perkara berkenaan, Stanley menerangkan sebenarnya Simon belum menandatangani apa-apa kontrak bersama KL United sebelum ini. Bekas ketua jurulatih Lalenok United itu hanya di peringkat perbincangan dan tawar-menawar.
“Bukannya kita sudah pilih dia (Simon) dan beri kontrak kepadanya dan batalkan (kontrak), tidak berlaku (situasi) sebegitu,”
“Kemudiannya, kita (telah) buat satu perubahan dari segi keputusan bola sepak (dengan menandatangani Bojan Hodak),” terangnya sambil memberitahu bahawa Simon sendiri turut memahami dan berlapang dada dengan keputusan yang dilakukan oleh KL United.
Pemilihan Bojan ini berdasarkan beberapa faktor dan salah satu daripadanya adalah untuk memimpin pemain-pemain senior dan muda bagi memastikan keharmonian di dalam bilik persalinan.

“(KL United) mempunyai pemain-pemain paling senior seperti Safee Sali, Indra Putra dan Shukor Adan yang orang pangil mereka bos, (maka) saya memerlukan bos yang lebih besar supaya dapat mengawal keharmonian bilik persalinan.
“Saya tahu apabila Bojan masuk bilik persalinan, Indra akan patuh kerana pernah menang bersama Bojan (di Kelantan), Safee Sali pernah bekerja bersama Bojan di JDT,” jelasnya sambil
Antara faktor lain yang dipertimbangkan oleh Stanley adalah pengalaman Bojan terlibat dalam membimbing skuad remaja negara kategori bawah 19 tahun di mana beberapa pemain muda KL United pada ketika ini pernah mempunyai pengalaman bermain di bawah tunjuk ajarnya.
Lebih menarik, keputusan melantik Bojan sebagai ketua jurulatih bukan sahaja membuatkan keterujaan kepada para pemain malahan barisan kejurulatihan KL United .
Sebagai bonus, Bojan yang sudah hampir 15 tahun berkelana di asia tenggara khususnya di Malaysia sudah tentu tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dalam saingan bola tempatan berbanding ketua jurulatih asing lain yang tidak pernah mengendalikan pasukan di sini.