Pasukan berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC sedang dalam penilaian akhir terhadap beberapa nama bagi mengisi baki dua slot pemain importnya untuk mengharungi saingan Liga Super 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, salah satu daripada slot pemain tersebut akan diisi dengan penyerang tengah tipikal No.9
Manakala satu lagi slot akan diisi dengan pemain pertahanan yang mempunyai kemampuan untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan jika diperlukan.

“Yang pertamanya, kami (mahu) dapatkan khidmat centre forward (penyerang tengah) tipikal No.9 dan mempunyai saiz yang baik untuk berhadapan dengan barisan pertahanan terutamanya kalangan import.”
“Ada satu striker ni bagus, tapi saiznya antara 5 kaki 6 inci, macam mana nak hadapi pertahan import yang rata-ratanya bersaiz lebih besar daripada pasukan lain?”
“Kemudiannya, kami mahu pertahanan yang mampu bermain di posisi defensive midfield (tengah bertahan) supaya dapat dimainkan dalam pelbagai taktikal sebagai contoh ketika bertahan.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.
Menurut Suffian lagi, setakat ini beberapa pemain daripada rantau asia tenggara terutamanya Indonesia menawarkan diri untuk menyertai pasukan Sri Pahang memandangkan ketidaktentuan aksi Liga Indonesia.
Namun begitu, terdapat juga beberapa pemain dari negara di rantau asean yang lain seperti Filipina, Vietnam serta Thailand menawarkan diri untuk mengisi kedua-dua posisi tersebut.
Untuk makluman, kedua-dua slot ini akan diisi oleh pemain dari kelompok negara asia atau asean memandangkan Sri Pahang telah mengikat khidmat pertahanan Herold Goulon (Perancis), pemain tengah Lee Tuck (England) dan pemain tengah menyerang Sergio Aguero (Argentina).
“Keutamaan kami pada masa ini mendapatkan pemain yang mementingkan semangat berpasukan dan mampu serasi bersama rakan pasukan di dalam dan luar padang, menjadi satu keluarga.” tambahnya lagi sambil mendedahkan ianya sebahagian daripada penerapan jurulatih baharu, Thomas Dooley.

Bagi kalangan pemain tempatan, Sri Pahang akan dikuatkan dengan 21 orang pemain dimana hampir 85% daripadanya merupakan anak jati negeri Pahang Darul Makmur. Antara muka baharu yang dibawa masuk oleh Sri Pahang ialah Hafiz Ramdan, Ezanie Mat Salleh, Zharif Irfan, Malik Mat Arif, Shahrul Aizad, dan Baqiuddin Shamsudin.